Wartawan jadi ejen penyalur ilmu, beri impak kepada masyarakat

Mohamad Fauzi Ishak

29/05/2022 05:17 PM

JOHOR BAHRU, 29 Mei (Bernama) -- Peranan wartawan masa kini bukan sekadar melaporkan berita, malah menjadi ejen penyalur ilmu yang memberi impak kepada segenap lapisan masyarakat. 

Presiden Kelab Media Johor (KMJ) Mohamad Fauzi Ishak berkata dunia tanpa sempadan telah merubah dimensi senario industri media yang memberikan kesan cukup besar dalam kehidupan seharian. 

"Dalam alaf baharu, peranan wartawan tidak cukup sekadar melaporkan sehingga gagal meluaskan horizon pemikiran masyarakat. 

"(Sebaliknya), kita perlu menukilkan kata-kata dan diiringi landasan berfikir yang mempunyai bukti konklusif bagi memberdayakan fikiran umum tanpa rasa gentar dan bacul, demi sebuah kehidupan yang sejahtera, " katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mohamad Fauzi yang juga Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (Protem) berkata sejajar dengan tema Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 yang disambut hari ini, iaitu 'Suara Jelata, Aspirasi Negara', suara rakyat perlu diberikan tumpuan dalam pelaporan.

"Berjuanglah dengan penuh rasa tanggungjawab, integriti dan semangat yang tinggi serta sematkan dan pegang teguh dalam diri prinsip Rukun Negara dalam jejak penugasan sebagai wartawan. 

"Justeru, marilah kita mengangkat martabat profesion kewartawanan ke suatu tahap yang jauh lebih bererti dan melambangkan maruah serta perjuangan sebenar insan bergelar wartawan," katanya. 

-- BERNAMA