PWP anjur HAWANA peringkat negeri 13 Jun

05/06/2022 07:02 PM

KANGAR, 5 Jun (Bernama) -- Persatuan Wartawan Perlis (PWP) bakal melakar sejarah tersendiri dengan penganjuran sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 peringkat negeri pada 13 Jun ini.

Presiden PWP Mohamad Asri Shafii berkata sambutan yang dijadual berlangsung di Norsalela Empire di sini merupakan inisiatif persatuan berkenaan bagi meraikan semua petugas media di negeri ini.

"Sambutan ini (HAWANA 2022 Peringkat Negeri Perlis) sebagai inisiatif PWP bagi menyokong HAWANA 2022 yang berlangsung di Melaka pada 29 Mei lepas.

"Ia dijadual dirasmikan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan PWP juga bercadang menjadikan  13 Jun sebagai tarikh sambutan tahunan sekiranya mendapat sokongan daripada penyumbang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamad Asri berkata program berkenaan mendapat sokongan menggalakkan bukan hanya dalam kalangan komuniti media Perlis malah kerajaan negeri dan Sekretariat HAWANA 2022 turut membantu.

"Pada majlis berkenaan, PWP turut menjemput veteran media Perlis bagi menghargai sumbangan mereka malah dua tokoh wartawan negeri juga akan diumum," katanya.

Beliau berkata jawatankuasa penganjur hanya mengambil masa kurang seminggu bagi melakukan persiapan sambutan berkenaan dan PWP berterima kasih kepada Sekretariat HAWANA 2022 yang membantu jawatankuasa penganjur melakukan persiapan selain barisan penaja, agensi kerajaan dan pelbagai pihak yang menghulurkan sumbangan.

Mohamad Asri turut mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kerana banyak membantu dalam pelbagai aspek bagi menjayakan sambutan itu.

Menurutnya, sempena HAWANA Peringkat Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menganjurkan aktiviti Forum Perdana di Masjid Tuanku Syed Faizuddin, di sini pada sebelah malam dan Kayuhan MAIPs Peduli Bersama PWP.

-- BERNAMA