MEDIA TRADISIONAL PERLU BERKEMBANG, RANGKUMI MEDIA SOSIAL
IPOH, 28 Mei (Bernama) – Dengan media sosial menjadi sumber utama maklumat dan berita kepada generasi muda, pakar-pakar menggesa media tradisional supaya berkembang dan menjadi luar biasa kreatif untuk menarik perhatian pengguna.
Personaliti penyiaran yang dikenali ramai, Suhaimi Sulaiman berkata organisasi media perlu memahami penonton mereka dan menggabungkan teknologi baharu bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.
Berkongsi pengalaman beliau dalam Forum Media Hawana 2023 di sini hari ini, Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu berkata RTM telah menjalankan kajian terhadap penontonnya antara lain menunjukkan mereka mahukan berita yang pendek dan terus kepada maklumat yang hendak disampaikan tetapi lengkap.
“Jadi, kami memutuskan untuk muncul dengan sebuah buletin 15 minit yang akan mengandungi 30 cerita. Kami memperkenalkan program dipanggil Kanta 744 yang dilancarkan pada 15 Mac,” katanya sambil menambah RTM juga menggunakan platform media sosial seperti Twitter, TikTok dan Facebook untuk menyebarkan kandungan.
Semasa satu sesi panel bertajuk “Kewartawanan Dalam Era Digital”, bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu berkata ada potensi besar untuk organisasi media menarik pengiklan rentas sempadan menerusi platform media sosial.
“Semasa perlawanan bola sepak antara Indoensia dan Thailand di Sukan SEA baru-baru ini, kami mendapat 10.3 juta penonton menonton siaran RTM ( TikTok secara langsung). Populasi Malaysia ialah 33.5 juta jadi itu adalah satu pertiga daripada rakyat negara ini dan itu amat bagus.
Apabila kami menyemak kembali, mereka bukannya dari Malaysia, mereka dari Indonesia … jadi apa yang berlaku ialah kami mencipta satu peluang untuk melangkah rentas sempadan melihat kepada peluang pengewangan di sini. Televisyen telah berkembang,” Suhaimi berkata sambil menambah RTM kini ditonton oleh golongan muda yang merupakan 62 peratus daripada penontonnya.
Forum bertemakan “Masa Hadapan Media” itu dianjurkan bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
Moderator sesi berkenaan Datuk Ahiruddin Attan berpendapat teknologi baharu tidak seharusnya dilihat sebagai satu krisis tetapi organisasi media harus melihatnya untuk mencari peluang.
Daripada melihat kepada 100,000 ke 200,000 penonton atau pembaca, Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia (NPC) yang dikenali sebagai Rocky Bru berkata organisasi media mempunyai akses kepada jutaan pengguna dalam era digital ini
“Tujuan kewartawanan itu tidak ditentukan oleh teknologi atau era digital… bahkan kewartawanan itu ditakrifkan sebagai ... bagaimana maklumat dan berita memperkasakan mereka yang menggunakan maklumat dan berita itu.
Maka dalam konteks ini, saya fikir kewartawanan tidak berada dalam ancaman, syarikat media, ya, untung dan rugi, ya. Tetapi bagi kerjaya ini sendiri, kami akan berkembang kepada sesuatu yang lebih besar, sesuatu yang lebih baik,” kata Ahiruddin.
Sementara itu, Pengurus Agence France-Presse (AFP) bagi Malaysia, Indonesia dan Brunei Alric Manickam berkata selaku antara sebuah agensi media tertua di dunia sejak 1835, AFP juga melalui proses evolusi itu.
Daripada perkhidmatan berita (wire), agensi ini berkembang kepada foto, grafik, video serta grafik video dan kini media digital
“Kami mempunyai biro di 151 negara dan menarik juga untuk melihat malah bilik berita juga berubah,” katanya.
Alric berkata organisasi media harus melakukan peralihan dan memikirkan semula bagaimana berita perlu dihasilkan, sama ada ia dalam bentuk panjang ataupun pendek dan gaya penulisan untuk platform berbeza bagi menarik minat penggunanya.
-- BERNAMA