JELAJAH HAWANA 2024 BERSAMA SISWA BERJAYA HIMPUNKAN 2,000 PELAJAR DARI 16 UNIVERSITI AWAM

Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin

12/12/2024 04:05 PM

KUALA NERUS, 12 Dis (Bernama) -- Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa yang melabuhkan tirainya hari ini mencatatkan kejayaan cukup membanggakan, apabila sepanjang penganjurannya yang bermula sejak Mei lepas, ia berjaya menghimpunkan pembabitan 2,000 pelajar dan pensyarah dari 16 universiti awam seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata pemberitan set komputer berkeupayaan tinggi dan televisyen 65 inci sumbangan Kementerian Komunikasi kepada setiap universiti yang terlibat juga dilihat amat memanfaatkan fakulti dan pelajar mereka.

Berucap pada majlis penutup Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa yang disempurnakan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di sini hari ini, beliau berkata hasil maklum balas diterima Bernama selaku urusetia HAWANA, ada kalangan universiti penerima menggunakan sumbangan itu bagi melengkapkan Bilik Berita mereka.

Sehubungan itu Nur-ul Afida mencadangkan supaya program berkenaan diteruskan tahun hadapan, dan diperluas ke peringkat politeknik.

"Ini satu pencapaian yang baik, dan memandangkan program tahun ini akan berakhir hari ini, maka saya memohon restu kepada Menteri Komunikasi (Fahmi Fadzil) untuk meneruskan program sebegini untuk memanfaatkan pelajar mungkin di peringkat politeknik... seperti untuk bidang fotografi, reka bentuk grafik dan sebagainya," katanya. 

Majlis hari ini turut dihadiri Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam.

Nur-ul Afida yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024 berkata siri jelajah yang berlangsung di enam zon di seluruh negara itu telah menampilkan pelbagai sesi perkongsian ilmu, termasuk pembentangan berkaitan kewartawanan dan kesedaran keselamatan media dalam talian.

"Ini merangkumi tajuk Mobile Journalism serta Semakan Fakta atau Fact Check oleh Bernama diikuti oleh topik Klik Dengan Bijak bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC),” katanya. 

Menyentuh mengenai cabaran media yang semakin kompleks berikutan perkembangan teknologi, Nur-ul Afida berkata pengamal media perlu bersedia menerima perubahan dan mengadaptasi teknologi dalam tugasan mereka.

"Industri media telah bertahan dan melalui pelbagai evolusi teknologi, daripada mesin taip ke internet, media sosial dan kini Kecerdasan Buatan (AI). AI kini menjadi pemacu transformasi dalam pelbagai sektor, termasuk industri media, dengan keupayaannya mampu memperkasa kandungan berita secara kreatif dan menarik, khususnya di platform media sosia," katanya. 

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa tanggungjawab melaporkan kebenaran perlu dilaksanakan dengan penuh integriti untuk memastikan media terus menjadi sumber yang dipercayai umum, manakala Kod Etika Kewartawanan Malaysia perlu sentiasa menjadi dukungan semua pengamal media.

Beliau berkata pelajar yang berminat menyertai industri media pula perlu mempersiapkan diri dengan memanfaatkan teknologi yang ada serta mempertingkat keupayaan berfikir secara kritikal bagi membolehkan mereka menapis informasi yang diperoleh. 

Sementara itu Dr Fadzli dalam ucapannya berkata UniSZA telah membangunkan pelbagai kursus berfokuskan pelaporan berita beretika seperti Mass Media Writing, Public Relations and Media Writing dan Asas Kewartawanan, bagi memastikan pelajar tidak hanya didedahkan dengan aspek teori dan praktikal dalam proses penghasilan berita, malah dilatih untuk mengenal pasti, menyaring dan menangani berita palsu.

"Bagi memastikan kualiti dan etika penyampaian berita dipelihara, pihak universiti komited untuk berganding bahu bersama pihak kementerian dan industri untuk memberi pendedahan terbaik kepada para pelajar dalam melahirkan masyarakat yang peka akan etika dan standard kewartawanan yang baik," katanya yang turut menzahirkan penghargaan atas pemilihan universiti berkenaan sebagai lokasi penutup Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa. 

Pada majlis itu, Fahmi turut menyampaikan sumbangan komputer riba daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kepada 85 pelajar UniSZA yang terjejas dengan bencana banjir baru-baru ini.

Seramai 250 pelajar dari UniSZA, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan bersama barisan pensyarah hadir memeriahkan program hari ini yang bukan sahaja bertujuan memperkukuh minat terhadap bidang kewartawanan, tetapi juga menyuntik inspirasi kepada generasi muda untuk meneroka peluang dalam industri media. 

-- BERNAMA