153 PENGAMAL MEDIA TAMIL TERIMA RM460,000 MENERUSI TABUNG KASIH@HAWANA - TEO
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Sebanyak 153 pengamal media Tamil menerima manfaat berjumlah RM460,000 menerusi Tabung Kasih@HAWANA setakat hari ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata mereka merupakan sebahagian daripada 850 pengamal media di seluruh negara, yang menerima manfaat daripada tabung berkenaan, dengan keseluruhan sumbangan mencecah RM2.5 juta.
“Angka ini menunjukkan bahawa rakan-rakan media Tamil juga merupakan sebahagian penting daripada keluarga besar pengamal media negara, yang sentiasa kita prihatin dan hargai.
“Rakan-rakan media yang memerlukan bantuan atau mungkin mengenali rakan seperjuangan yang sedang berdepan kesukaran, bolehlah membuat permohonan melalui urus setia Tabung Kasih@HAWANA atau menghubungi pejabat saya, untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Media Tamil Malaysia 2026 di sini hari ini, yang turut dihadiri presiden pertubuhan itu S.V. Muthamil Mannan.
Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA yang dilancarkan bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, menjadi wadah keprihatinan kerajaan dalam menzahirkan nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap sumbangan pengamal media.
Teo turut mengumumkan tambahan peruntukan RM5,000 kepada Pertubuhan Media Tamil Malaysia tahun ini, selepas menyalurkan jumlah yang sama pada mesyuarat agung tahun lepas.
Beliau berkata peruntukan itu, akan dimanfaatkan bagi memperkukuh gerak kerja pertubuhan, menjaga kebajikan ahli dan menyokong program yang memberi manfaat kepada warga media Tamil.
Dalam perkembangan berkaitan, Teo berkata empat organisasi media Tamil telah menerima manfaat daripada Dana Inovasi Media, iaitu Vanakkam Malaysia, Makkal Osai, Nambikkai dan Malaysia Nanban.
Teo berkata permohonan Dana Inovasi Media 2.0 akan dibuka dalam masa terdekat, yang akan diumumkan oleh Kementerian Komunikasi.
Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta, yang diumumkan bersempena dengan HAWANA 2025, bertujuan menyokong transformasi industri media melalui latihan, penggunaan teknologi dan peralatan serta pembangunan kandungan.
-- BERNAMA
