PURKHAN MOKHTAR SIFATKAN SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA X TM SEBAGAI PENGHARGAAN BESAR

09/10/2026 08:03 PM

PADANG BESAR, 9 Okt (Bernama) -- Bekas Timbalan Pengarah Penyiaran Perlis Purkhan Mokhtar, 66, menyifatkan pemberian sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM kepada beliau, sebagai satu penghargaan besar yang sangat bermakna kepadanya, selepas diserang minor strok pada November tahun lepas.

Purkhan yang kini perlu menjalani rawatan susulan secara berkala di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar berkata beliau berasa dihargai dengan keprihatinan pihak Kementerian Komunikasi menerusi sumbangan itu, meskipun bekas timbalan pengarah itu telah pun bersara sejak enam tahun lepas.

“Saya berterima kasih dengan sumbangan tabung kasih ini, saya berasa terharu sebab pihak Kementerian Komunikasi prihatin melalui pemberian sumbangan ini yang memberikan kegembiraan kepada saya,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian tabung kasih itu di rumahnya, dekat sini hari ini.

Sumbangan tabung kasih itu disampaikan Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Perlis Nurrul Huda Ahmad Lutfi.

Turut hadir Pengarah Penyiaran Perlis Fathil Hidayat Gazali.

Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA melalui sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) Telekom Malaysia (TM), dalam usaha memperluas bantuan kepada pengamal media memerlukan.

Purkhan yang mula menyertai RTM di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada 1982 sebagai pembantu siaran berkata sumbangan itu juga, secara tidak langsung dapat mengubati kesedihannya yang tidak dapat meneruskan kerja pengacaraan majlis, kerana pergerakan terbatas selepas kaki dan tangan kirinya terjejas akibat mild strok itu.

“Selepas bersara saya ada juga buat kerja jadi pengacara majlis untuk pendapatan sampingan, tetapi bila dah jadi strok macam ini, saya dan tak boleh nak mengacara majlis ini, nak bergerak pun terbatas. Saya perlu menjalani fisioterapi seminggu sekali di HTF,” katanya.

Beliau yang pernah menjadi Juruhebah Radio 3 Kangar yang kini dikenali PERLISfm dari 1991 hingga 2013 berkata keadaan kesihatannya itu, turut menyebabkan penglibatannya dalam aktiviti kemasyarakatan kini terbatas sedangkan sebelum ini beliau aktif bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti kampung.

Selain berpengalaman luas dalam bidang penyiaran, Purkhan berkata beliau juga pencetus yang mula memberikan gelaran “Singa Utara” kepada pasukan bola sepak Perlis, semasa masih bertugas sebagai wartawan Bintang Timur pada Februari 1982, sebelum masuk bekerja dengan RTM pada April tahun sama.

-- BERNAMA